PEMINAT seni taman yang bercadang menanam orkid perlu mengetahui beberapa perkara penting berkaitan tumbuhan itu, khususnya bagi memudahkan pengurusan, penanaman dan pembiakan pokok.

Bagaimanapun, penanaman orkid bergantung kepada keluasan halaman dan bentuk kediaman sama ada jenis banglo, teres, apartmen atau rumah kampung yang mempunyai halaman luas.

WARNA merah dengan susunan kemas menyebabkan kadar harga orkid ini terus meningkat.

Orkid atau nama botaniknya Orchidaceae, adalah satu kumpulan bungaan yang mempunyai banyak perbezaan dari aspek rupa bentuk dan pokok.

Ada 100 genus orkid di negara ini. Antara yang popular ialah Dendrobium, Oncidium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Renanthera dan Phalaenopis, manakala genus kacukan yang berjaya dihasilkan menerusi teknologi botani ialah Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.

Baka lain hasil kacukan termasuk Doritaenopsis, Holtumara, Kagawa, Laycockara, Limara, Mokara, Renantanda, Renanstylis, Renanthopsis, Rhyncovanda, Teohara, Vandaenopis, Vandachnis dan Vascostylis.

Antara varieti genus hibrid yang popular ialah Aranda Chark Kuan dengan bunganya berwarna magenta, Aranda Chritie (bintik merah jambu), Aranda Iskandar (kuning), Aranda Kooi Choo (biru), Aranda Lum Chin (kuning) dan banyak lagi nama baru dengan serlahan bunga pelbagai warna yang menarik.

Bunga orkid terdiri dari sepal, petal, stamin dan pistil. Gabungan stamin dan pistil dipanggil kolum. Pada bahagian luar sepusar bunga ada tiga kelopak sepal dan sebelah dalamnya ada dua kelopak petal.

PROSES pembenihan orkid menggunakan kaedah tisu kultur hasil teknologi botani masa kini.

Kolum mengandungi cepu debunganya di atas. Stigma di bahagian tengah dan benang sari di bahagian bawah. Debunga dikenal pasti berada dalam pundi polinia yang ada dalam bilangan dua hingga 12. Ovari berada di bawah sepal dan berfungsi sebagai tangkai bunga atau pedisel.

Lazimnya, ovari akan membesar menjadi buah orkid yang mengandungi biji benih sekiranya berlaku proses persenyawaan.

Orkid Simpodium boleh tumbuh atas pokok secara epifit atau atas tanah yang dipanggil terestrial. Batang orkid jenis ini berbentuk bebawang semu dengan pertumbuhan pelbagai hala.

Bebawang panjang beruas-ruas dan sebahagiannya pendek tanpa ruas. Akar dan daun terbit daripadanya. Tunas baru akan mengeluarkan bunga apabila tiba tahap kematangan.

Bebawang tua akan mengeluarkan tunas baru pada pangkal rumpun sebelum mengecut dan mati. Ini dipanggil proses pembiakan normal.

Orkid Monopodium pula memiliki batang yang kecil dan diliputi upih daun. Akar udara akan keluar dari batang dengan menembusi upih daun.

Batang orkid ini tidak bercabang yang akan mengeluarkan tunas baru sekiranya dipotong.

Keratan yang dipotong boleh ditanam semula pada tanah yang tidak lembap. Genus orkid ini yang berada di pasaran ialah Vanda, Aranchis, Renanthera, Phalaenopsis, Holttumara dan Mokara.

BEBAWANG orkid boleh dibiakkan untuk mendapatkan anak benih baru.

Orkid Simppodium, Oncidum dan Dendrodium mempunyai akar serabut, manakala Monopodium seperti vanda memiliki akar serabut bawah tanah. Semua jenis orkid tidak mempunyai akar rerambut.

Tumbuhan ini memerlukan keadaan panas pada waktu siang dengan suhu yang sejuk pada sebelah malamnya. Jumlah siraman pula bergantung kepada jenis pasu dan media penanaman yang digunakan. Ini termasuk dedahan cahaya matahari, suhu sekitar dan peringkat usia atau tahap proses tumbesarannya.

Orkid yang ditanam dari biji benih matang dalam tempoh satu hingga tiga tahun. Semaian keratan vegatatif boleh matang dalam tempoh empat hingga 12 bulan saja.

Persekitaran yang sesuai membantu orkid berbunga. Penghasilan bunga banyak bergantung kepada jangka masa dan suhu sekitarnya. Orkid Dendrobium, Oncidium, Cattleya dan Phakaenopsis misalnya, galak berbunga sekiranya ditempatkan di kawasan redup. Ini bermakna naungan atau alat teduhan diperlukan.

Bagaimanapun, orkid Aranda, Aranchis, Mokara, Renthera dan Vanda akan galak berbunga apabila mendapat dedahan cahaya matahari mencukupi. Orkid jenis ini tidak memerlukan naungan ketika usia matang.

Selain pembiakan biji benih, orkid boleh dibiakkan melalui tisu kultur dan keratan. Bahan tanaman vegetatif orkid monopodium mudah dibiakkan dengan hanya memotong atas pokok bagi memastikan ada sekurang-kurangnya tiga akar udara, manakala orkid Simpodium diperoleh dengan melakukan belahan bebawang semu yang matang untuk dibiakkan.

Penggunaan pecahan batu- bata, arang, sabut kelapa, potongan kayu, tempurung kelapa dan akar paku pakis disyorkan.

Keratan batang orkid mesti berukuran 30 hingga 45 sentimeter (sm) diikat pada pancang sokongan supaya tidak bergoyang. Jarak antara pokok bergantung kepada varietinya. Campuran media pertumbuhan mesti ditabur pada pangkal pokok setiap dua bulan sekali. Sungkupan tanah juga perlu untuk mengekalkan kelembapan.

Bagi kaedah penanaman berpasu – keratan orkid mesti diikat pada kayu sokongan berukuran 100 milimeter (mm) yang diletakkan di tengah pasu. Campuran batu-bata dan arang disusun di sekeliling pokok disyorkan. Pasu yang sesuai digunakan ialah yang bergaris pusat 120 mm yang memiliki dua hingga tiga lubang untuk pengudaraan akar dan pengaliran air.

Orkid memerlukan baja sokongan nutrien. Sama ada baja kimia, organik atau baja organik mentah. Ia memerlukan Nitrogen, Posforus, Kalium, Magnesium, Kalsium, Manganese, Zink, Ferum, Boron, Kuprum dan Molydenum untuk menggalakkan tumbesaran dan penghasilan bunga.

Anak benih pokok muda perlu tiga hingga empat nisbah Nitrogen, Posforus dan Kalium. Pokok belum matang perlu keseimbangan baja berkenaan yang perlu diberikan dua hingga tiga kali seminggu.

Unsur nitrogen perlu dikurangkan apabila pokok matang. Pembajaan disyorkan dilakukan pada lewat petang, bukannya waktu tengah hari. Baja kimia yang disyorkan ialah Agrospray dengan bekalan NPK-13:27:27, Bayfolan (8:8:6), Boi 67 (16:30:18), Bio 63 (21:21:21), Graviotta 67 (14:27:27), Green Zit (12:71:5) dan banyak lagi.

Baja organik daripada ikan turut mengandungi NPK-5:2:2, tahi ayam (5:4:4), sisa kelapa (5:5:5), tahi kambing (3:1:1) dan tahi lembu dengan nisbah 14:4:11. Semua baja organik ini turut memiliki unsur surih yang membantu menyuburkan orkid.

Sumber: http://harizamrry.wordpress.com (Dilayari pada 2 September 2010)