Pages

Friday, September 3, 2010

Roselle

Roselle bunga yang enak dimakan

Hibiscus rosa sinensis ialah bunga raya yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai bunga kebangsaan negara. Tahukah anda ada satu lagi spesies bunga raya yang boleh kita ketengahkan kerana kegunaannya sebagai makanan. Spesies bunga raya yang dimaksudkan ialah Hibiscus sabdariffa L. atau lebih dikenali dengan nama roselle.

Tumbuhan roselle dikatakan berasal dari India tetapi ada juga yang mengatakan ia berasal dari Afrika Barat. Tumbuhan ini mula diperkenalkan di Malaysia sejak lebih tiga kurun yang lampau. Beberapa jenis roselle yang tumbuh secara liar di beberapa negeri dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti asam paya, asam kumbang dan asam susur. Di West Indies ia dinamakan Jamaican Sorrel. Pokok roselle boleh tumbuh daripada biji benih atau keratan dan ketinggiannya boleh mencapai sehingga 3–5 m serta mengeluarkan bunga hampir sepanjang tahun.

Bunga roselle berwarna cerah, salut bunga atau kaliksnya berwarna merah gelap dan lebih tebal jika dibandingkan dengan bunga raya biasa. Bahagian bunga roselle yang boleh diproses menjadi makanan ialah salut bunganya (kaliks) yang mempunyai rasa yang amat masam. Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan makanan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle. Tahukah anda daun dan batang muda roselle boleh dimakan sebagai ulam atau salad dan boleh juga digunakan sebagai perisa di dalam kuah kari? Sementara itu di Afrika, biji roselle dimakan kerana dikatakan mengandungi minyak tertentu. Di Sudan, roselle diproses menjadi minuman tradisional yang dinamakan Karkadeh dan merupakan minuman kebangsaan orang Sudan.

Salut bunga ini boleh diproses menjadi pelbagai jenis hasilan seperti minuman, halwa, jeli, sos, jeruk dan serbuk atau helaian minuman roselle

Potensi Roselle
Kajian awal MARDI pada tahun tujuh puluhan lebih menekankan pada penghasilan pewarna asli daripada roselle. Potensi roselle dalam menghasilkan pewarna merah begitu terserlah kerana dengan hanya memegang bunga ini, warna merah akan melekat di tangan. Kemudian pada tahun lapan puluhan penyelidikan berkembang kepada kajian penggunaan roselle dalam pengeluaran sirap minuman. Berdasarkan minat serta perhatian yang diberikan kepada industri makanan sejak awal tahun sembilan puluhan, roselle dijangka mempunyai potensi untuk dimajukan dalam mempelbagaikan penghasilan makanan di negara ini.
Tahukah anda daun dan batang muda roselle boleh dimakan sebagai ulam atau salad dan boleh juga digunakan sebagai perisa di dalam kuah kari?

HASILAN ROSELLE
Ekstrak roselle dan khasiatnya
Ekstrak roselle diperoleh dengan melakukan proses pengekstrakan terhadap salut bunga segar atau salut bunga kering yang direndam di dalam air panas pada suhu >60°C selama 30 minit hingga semalaman. Seterusnya ekstrak bewarna merah gelap yang amat masam diperoleh melalui proses penurasan. Daripada ekstrak ini berbagai-bagai hasilan roselle dapat dikeluarkan. Ekstrak roselle juga boleh dijadikan serbuk melalui proses pengeringan sembur. Ekstrak roselle didapati kaya dengan pigmen anthosianin, asid askorbik dan asid buah yang lain. Hasil analisis mendapati kandungan pewarna anthosianin sebanyak 1.48 g/100 g salut bunga kering. Sementara itu sirap roselle mempunyai kandungan vitamin yang agak tinggi iaitu 200 mg/100 ml.

Minuman roselle
Minuman jus atau kordial roselle boleh disediakan dengan mencampurkan ekstrak roselle dengan gula dan bahan tambah yang lain seperti bahan awet. Campuran ini dibancuh menggunakan mesin pembancuh.

Halwa roselle
Selama ini yang kita tahu hanyalah halwa kundur, halwa betik dan pelbagai jenis halwa daripada buah-buahan tempatan. Siapa sangka bunga roselle boleh diproses menjadi halwa. Salut bunga roselle hasil penurasan ekstraknya, dimasak dalam larutan gula sehingga mencapai kepekatan yang dikehendaki. Seterusnya salut bunga dikeringkan, maka terhasillah halwa roselle.

Serbuk roselle
Serbuk roselle atau teh berperisa roselle boleh dihasilkan daripada salut bunga segar yang dikeringkan pada suhu 65–80°C selama 6–8 jam atau sehingga kandungan lembapan 2%. Seterusnya salut bunga yang telah kering dikisar, ditambah bahan anti ketul dan dibungkus. Untuk teh berperisa roselle, salut bunga kering yang telah dikisar dan ditambah bahan anti ketul dicampur bersama daun teh sebelum dibungkus.

Jem dan jeli roselle
Salut bunga segar atau salut bunga terpakai selepas proses pengekstrakan, dikisar dan hasilnya disebut pulpa (pulp). Untuk membuat jem roselle, pulpa ini dimasak bersama gula, pektin dan air sehingga mencapai kepekatan 65 °Brix. Jeli roselle juga diproses dengan kaedah yang sama tetapi menggunakan ekstraknya.

Industri roselle di Malaysia
Sehingga kini terdapat beberapa kilang memproses roselle di Malaysia. Antara syarikat yang mendapat khidmat nasihat dan perundingan MARDI ialah Gulf and Pacific Industries Sdn. Bhd. di Kuching, Sarawak. Syarikat ini mengeluarkan hasilan kordial, minuman berkarbonat, jem, halwa dan pati roselle. Bagi memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi untuk industri yang kian berkembang ini, penanaman roselle telah diusahakan oleh Gulf and Pacific Estates Sdn. Bhd. di tanah seluas hampir 2 499 ekar.

Di Terengganu perbincangan dan perundingan dari aspek pembangunan hasilan roselle telah diadakan dengan Malaysia Roselle Industries Sdn. Bhd., Kuala Terengganu. Sementara itu memorandum persefahaman telah ditandatangani oleh MARDI dengan Aquasis (M) Sdn. Bhd. Kuantan, Pahang dalam usaha penubuhan kilang serta pembangunan hasilan roselle.
Potensi di masa hadapan

Hasilan roselle masih baru di kalangan rakyat Malaysia apatah lagi bagi negara lain. Penerimaannya setakat ini masih di peringkat percubaan dan pengguna membelinya dengan tujuan ingin mencuba hasilan yang baru. Sama ada mereka akan terus membeli dan menjadikannya sebagai satu makanan atau minuman sehari-hari bergantung pada banyak perkara.

Pertama, adakah rupa, rasa dan bau hasilan tersebut memenuhi citarasa pengguna? Kedua, apakah keunikan atau kelebihan hasilan ini jika dibandingkan dengan hasilan yang sedia ada? Pengguna hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat dan mereka amat peka pada sesuatu bahan makanan atau minuman yang dapat meningkatkan atau menjejaskan kesihatan mereka. Mereka juga mahukan nilai terhadap setiap sen yang dibelanjakan.

Oleh itu, pengusaha harus bijak dalam memenuhi kehendak pengguna dengan menonjolkan kelebihan sesuatu hasilan baru dan pada masa yang sama dapat menjamin kualiti hasilan dan keselamatan terhadap pengguna. Faktor ketiga ialah bagaimana promosi hasilan itu dibuat. Promosi secara aktif dan berterusan perlu dibuat bagi memperkenalkan roselle kepada orang ramai kerana setelah beberapa lama pengguna mungkin lupa tentang kewujudan sesuatu hasilan baru apabila iklan hasilan berkenaan tidak lagi kelihatan di media massa.

Tumbuhan roselle mudah tumbuh di negara kita yang beriklim tropika. Seperti pokok bunga raya lain, sehingga kini didapati pokok roselle sukar dijangkiti penyakit dan penjagaannya di ladang tidak sukar. Teknologi memproses pelbagai hasilan roselle juga telah disediakan oleh MARDI untuk dipindahkan kepada usahawan yang berminat. Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, maka adalah tepat pada masanya para pengusaha mengambil peluang ini.

http://harizamrry.com/

No comments: